Saturday, April 21, 2012

KONSEP 5P

Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menekankan konsep penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan
penilaian. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

a. Penggabungjalinan
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan,
sama ada kemahiran yang terdapat dalam hasil pembelajaran atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

b. PenyerapanDalam pengajaran Bahasa Melayu, unsur ilmu, nilai dan kemahiran bernilai tambah seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dan disiplin dalam pelbagai mata pelajaran.

c. Pengayaan
Program pengayaan perlu diberikan penekanan dalam Kurikulum Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid hendaklah diberikan bahan yang berbeza untuk digunakan secara bersendirian atau
dengan bimbingan guru. Bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad, permainan dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang
telah menguasai kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

d. PemulihanProgram pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yangditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan
murid menguasai sesuatu kemahiran.

e. PenilaianPenilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan sesuatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan, dan
setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid.

Saturday, September 4, 2010

AIDIL FITRI MENJELANG LAGI

Oleh:
Dr. Hj. Rosli Ab. Rahman

Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengekang hawa nafsu di bulan Ramadan, Allah S.W.T membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, iaitu Allah S.W.T menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar bagi kita menyambutnya mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh syara‘ dan tidak dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah S.W.T khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan.
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.
Semoga kita sama-sama merebut peluang yang diberikan oleh Allah S.W.T untuk melipatgandakan amalan kita di sisi Allah S.W.T.

UCAPAN TAKBIR RAYA

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idul fitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta‘ala:
Maksud ayat:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah : 185)



ADAB-ADAB MENYAMBUT AIDIL FITRI

1. Menghidupkan malam hari raya dengan memperbanyak amal ibadah.
2. Mandi sunat hari raya.
3. Memakai bau-bauan harum.
4. Memakai pakaian yang paling baik .
5. Menjamah sedikit makanan sebelum ke masjid.
6. Menunaikan zakat fitrah sebelum sembahyang sunat hari raya.
7. Berjalan ke masjid dengan tenang dan tawadhuk.
8. Bertakbir semasa berjalan ke masjid .
9. Mengucapkan tahniah bila berjumpa saudara-saudara muslim.
10. Menggelakkan pembaziran.
11. Menjauhi segala perbuatan maksiat dan sia-sia.

Friday, September 3, 2010

KOMUNIKASI MASA KINI

Oleh
Dr. Hj. Rosli Ab. Rahman

Dalam dunia komunikasi masa kini, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sama ada golongan tua lebih-lebih lagi kepada golongan muda.

Menurut Ilah Hafiz Aziz (2000), apabila memperkatakan sesuatu yang berkait rapat dengan TMK dalam kalangan golongan muda, pasti ramai yang melihat kemudahan telefon bimbit sebagai salah satu teknologi penting kepada mereka. Namun, jika dilihat dari sudut kemudahan teknologi berasaskan internet, laman sesawang (web) sosial seperti facebook, friendster, myspace dan twitter menjadi kegemaran mereka.

Teknologi sesawang yang semakin berkembang itu telah memberi pengaruh hebat kepada golongan tersebut dan komunikasi itu seolah-olah menjadi gaya hidup yang semakin sebati dalam kehidupan mereka. Justeru, peristiwa bahasa yang berlaku dalam TMK seharusnya diberikan perhatian dalam pengkajian bahasa kerana ia memberi kesan yang besar kepada masyarakat dan budaya. Peristiwa bahasa berkait rapat dengan budaya sesuatu masyarakat seperti yang dinyatakan oleh Saville-Troike (2003) bahawa peristiwa bahasa adalah dilingkungi oleh peraturan-peraturan dan norma bahasa.

Dalam perkembangan dunia globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Globalisasi dilihat sebagai satu proses sosial yang menyebabkan masyarakat negara atau bangsa menjadi saling berhubungan dalam aspek ekonomi, politik dan budaya (Kalthum Ibrahim, 2008) . Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) turut mempengaruhi penggunaan bahasa masa kini. Apatah lagi, kewujudan aliran baru dalam dunia komunikasi tanpa bersemuka seperti mel elektronik (e-mail), khidmat pesanan ringkas (short message service), internet relay chat atau (IRC), friendster, facebook dan lain-lain memberikan ruang dan peluang untuk manusia berkomunikasi dengan lebih luas.

Pengasas facebook, Mark Zuckerberg (2009) dalam mesej yang disiarkan dalam blog rasmi facebook berkata:
“Perkembangan pesat itu membuatkan saya terharu dan teruja. Bagi kami, peningkatan kepada 250 juta pengguna bukan sahaja sebagai angka yang mengagumkan tetapi juga sebagai sebagai ukuran berapa banyaknya hubungan peribadi yang anda telah lakukan.”

Peserta dalam ruang siber juga mengongsi bahasa untuk berkomunikasi sama seperti komunikasi lain dalam dunia nyata (Noriah Mohamed, 2006). Internet menjadi jaringan global yang menghubungkan beribu malahan berjuta jaringan komputer contohnya jaringan LANs (Local Area Networks) atau rangkaian setempat, WANs (Wide Area Networks) atau rangkaian luas, intranet, internet dan komputer peribadi (stand alone) membolehkan setiap komputer menghantar mesej antara satu sama lain (Nor Shahila Mansor, 2004). Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (2009) berpendapat penggunaan laman sesawang sosial seharusnya dimanfaatkan sebagai salah satu alat terbaik untuk berkomunikasi dengan para belia dan alat komunikasi internet ini mampu menggalakkan beliau untuk aktif dalam bidang politik.

SMS dan IRC adalah antara saluran komunikasi yang digunakan secara meluas pada masa kini. Buktinya, menurut Michael Lai (2005), rakyat Malaysia membelanjakan RM 4.7 juta sehari atau RM 1.716 bilion setahun untuk menghantar mesej melalui perkhidmatan SMS. Jumlah itu diperoleh berdasarkan perangkaan yang menunjukkan lebih 47 juta SMS dihantar setiap hari di negara ini dengan andaian setiap SMS dikenakan bayaran purata 10 sen .
BAHASA MELAYU DALAM SALING BUAL INTERNET (INTERNET RELAY CHAT ATAU IRC)

Oleh
Dr. Hj. Rosli bin Ab. Rahman


IRC ialah sistem perbualan melalui internet oleh berbilang pengguna yang membenarkan mesej yang ditaip dicapai oleh semua ahli kumpulan yang berkaitan dalam masa nyata (http://prpm.dbp.gov.my/). Menurut Wan Imran Mohamed Woojdy (1998), IRC ialah sistem komunikasi yang berteraskan konsep ramai pengguna dalam satu masa (multi-user talk) yang dihubungkan melalui network atau talian internet. Perlakuan atau komunikasi di IRC hanya menggunakan medium atau bahantara talian internet, papan kekunci (keyboard) dan skrin monitor. Talian internet yang menghubungkan pengguna membenarkan ramai peserta IRC berhubung antara satu sama lain secara serentak (Wan Anita Wan Abas, 2002).

Menurut Beh (2001), setiap peserta IRC mempunyai nama samaran yang tersendiri dan mereka bebas memilih pasangan untuk berbual. Mereka juga bebas membuat pilihan untuk berbual dalam saluran (channel) bersama-sama ramai lagi peserta IRC yang lain ataupun mereka menghantar mesej ke mesej peribadi (instant message) secara one-to-one. Tiada syarat dalam melayari IRC kerana sesiapa sahaja boleh melayari dan menjadi peserta dalam IRC Nor Shahila Mansor (2004: 10).

Beh (2001: 2) menghuraikan bahawa IRC membolehkan pengguna berkomunikasi melalui dua bentuk:
“It is a multi-user and multi channel chat system that allow people to communicate at the same time. This means a message typed by one participant is seen by other participants within a few seconds. Each participant has a nickname and chats with the other participants in a channel. Each channel is like a private room, the other participants who are the same channel can read the message that is typed in an channel, but participants outside the channel are unable to read the message.”


Teknologi sesawang yang semakin berkembang itu telah memberi pengaruh hebat kepada masyarakat dan komunikasi itu seolah-olah menjadi gaya hidup yang semakin sebati dalam kehidupan mereka. Hampir semua laman pencarian enjin seperti MSN, Yahoo, Google dan lain-lain lagi menyediakan kemudahan IRC untuk memberi peluang kepada penggunanya bersembang melalui laman interaksi sosial tersebut.

Kepopularan IRC dapat dilihat daripada penggunaannya kerana terdapat IRC yang kecil servernya (contohnya, OperaNet), IRC yang sederhana servernya (contohnya Freenote dan DalNet yang memiliki 30,000 pengguna) dan IRC yang besar servernya (contohnya, EFNet, dan UnderNet yang memiliki lebih daripada 100,000 pengguna) (http://simple.wikipedia.org/wiki/Internet_RelayChat, 9/12/2008).

Beberapa orang pengkaji bahasa telah mengkaji mengenai penggunaan laman sembang IRC sebagai saluran inetraksi sosial. Antaranya, kajian yang dilakukan oleh Wan Imran Mohamed Woojdy (1998) mengenai Sembang-sembang Siber: Strategi
Perbualan di Internet Relay Chat . Dapatan kajian beliau bahawa dalam pertuturan IRC, para penutur menggunakan beberapa bentuk strategi komunikasi seperti penukaran kod, paralinguistik, penyingkatan kata dan bahasa slanga dapat membantu pengguna bahasa IRC lebih memahami bahasa IRC.

Nor Shahila Mansor (2004) telah melihat komunikasi di IRC dalam kalangan IRC tempatan (penutur bahasa Melayu) di Malaysia dan peserta IRC luar negara (penutur bahasa Sepanyol) di negara berbahasa Sepanyol. Menurutnya, komunikasi tidak hanya berlaku secara bersemuka tetapi masih terus boleh berlaku walaupun penutur dan pendengar tidak langsung dapat melihat antara satu sama lain. Melalui telefon dan internet, manusia di seluruh pelosok dunia boleh berhubung pada bila-bila masa tanpa ada sekatan oleh dinding jarak, sempadan, waktu, perbezaan budaya, agama, latar belakang pendidikan dan pelbagai lagi unsur halangan lain. Kajian ini menyingkap wacana perbualan antara pemeran-pemeran di ruangan IRC yang mendukung budaya, agama, pemikiran dan ideologi yang berbeza.

Kesimpulannya, laman sembang IRC perlu dimanfaatkan oleh pengguna bahasa Melayu untuk menjalinkan interaksi sosial sesama mereka akan bahasa Melayu mampu merentas samudera globalisasi setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia.
BAHASA SMS?

Oleh:
Dr. Hj. Rosli bin Ab. Rahman

Bahasa SMS? Apakah yang dikatakan bahasa SMS? Khidmat pesanan ringkas ataupun SMS (Short Message Service) adalah khidmat yang membolehkan teks ringkas dan sebagainya dihantar dan diterima dengan menggunakan telefon bimbit, komputer peribadi dan sebagainya (http://prpm.dbp.gov.my/). Crystal (2008) menyatakan bahawa idea dan gagasan khidmat pesanan ringkas bermula daripada perbincangan sebahagian daripada perkembangan sistem jaringan global untuk komunikasi mudah alih (Global System for Mobile Communication) sekitar pertengahan 1980an tetapi ia tidak menjadi kenyataan sehingga awal 1990an apabila syarikat telefon mula membina kepentingan komersial.

Percubaan pertama penghantaran mesej dikirim di Finland pada tahun 1992-1993 sehinggalah ia mengambil lebih daripada lima tahun untuk membolehkan pengguna menggunakannya. Pendapat Crystal ini siperkuatkan oleh pendapat Supyan Hussin (2005) bahawa SMS telah dilancarkan secara komersial untuk kali pertamanya pada tahun 1995. SMS mempunyai idea yang sama seperti kod Morse. Ianya membolehkan pesanan sehingga 160 huruf dihantar melalui telefon bimbit dan internet-domestik dan antarabangsa.

SMS adalah satu kaedah menghantar mesej teks yang mempunyai kepanjangan maksimum 160 aksara melalui telefon sel (Aziz Deraman, 2005). Pada hari ini, SMS menjadi alat komunikasi penting kepada para remaja yang suka berkomunikasi dengan kos yang minimum. Perkembangan dalam penggunaan SMS begitu mendadak. Di United Kingdom, pada tahun 2002, sebanyak 12.2 bilion mesej teks telah dihantar oleh pengguna. Pertambahan sekali ganda telah berlaku pada tahun 2004 dan dijangka bertambah kepada 45 bilion pada tahun 2007 (Crystal, 2008: 4). Gartner, penganalisis industri meramalkan bahawa jumlah mesej yang dihantar pada tahun 2010 ialah 2.4 trilion (www. Gartner.com).

Menurut Supyan Hussin (2005), bahasa SMS boleh dibahagikan kepada dua dengan katanya:
“bahasa SMS boleh dibahagikan kepada dua iaitu rasmi dan tidak rasmi. Bahasa SMS rasmi ditulis dengan penggunaan perkataan dan nahu yang standard serta struktur ayat yang lengkap. Sebaliknya, bahasa SMS tidak rasmi menggunakan perkataan yang dipendekkan atau diringkaskan dan tidak mengikut nahu bahasa yang betul. Struktur ayatnya tidak lengkap dan ayatnya tergantung. Terdapat juga kekerapan perkataan singkatan SMS dalam bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris. Nada bunyi bahasanya juga lebih mirip bahasa pasar.”

Abdullah Hassan (2008) menyatakan bahasa SMS adalah satu neka bahasa tulisan yang digunakan dalam sistem maklumat singkat yang digunakan lazimnya oleh orang muda bagi berkomunikasi melalui telefon bimbit. Dalam SMS ini banyak perkataan yang dipendekkan, perkataan Inggeris yang dipinjam dan perkataan-perkataan slanga yang diketahui oleh golongan pengguna SMS itu saja. Malah, ramai golongan yang lebih tua tidak memahami bahasa tersebut.

Benarkah SMS Popular?

Menurut Michael Lai (2005), rakyat Malaysia membelanjakan RM 4.7 juta sehari atau RM 1.716 bilion setahun untuk menghantar mesej melalui perkhidmatan SMS. Jumlah itu diperoleh berdasarkan perangkaan yang menunjukkan lebih 47 juta SMS dihantar setiap hari di negara ini dengan andaian setiap SMS dikenakan bayaran purata 10 sen .

Menurut S.M. Mohamed Idris (2007), pengguna telefon bimbit di negara ini menghantar lebih 11.7 bilion SMS antara Januari hingga Mac 2007 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 4.3 bilion SMS untuk tempoh yang sama bagi tahun lalu. Menurut laporan Kaji Selidik Pengguna Telefon Bimbit 2007, terdapat peningkatan ketara penggunaan SMS dan MMS dalam kalangan pengguna telefon bimbit bagi tempoh empat tahun lalu. Kaji selidik itu mendapati 50.4 peratus daripada 21 juta pengguna telefon bimbit di negara ini menghantar lebih lima SMS atau MMS sehari pada tahun 2007 berbanding 46.1 peratus pada 2006, 41.8 peratus (2005) dan 31.7 peratus (2004) (Berita Minggu, 6 Julai 2008).
KOMUNIKASI MELALUI SALING BUAL INTERNET (INTERNET RELAY CHAT @ IRC)

Oleh
Dr. Rosli bin Ab. Rahman

IRC ialah sistem perbualan melalui internet oleh berbilang pengguna yang membenarkan mesej yang ditaip dicapai oleh semua ahli kumpulan yang berkaitan dalam masa nyata (http://prpm.dbp.gov.my/).

Menurut Wan Imran Mohamed Woojdy (1998), IRC ialah sistem komunikasi yang berteraskan konsep ramai pengguna dalam satu masa (multi-user talk) yang dihubungkan melalui network atau talian internet. Perlakuan atau komunikasi di IRC hanya menggunakan medium atau bahantara talian internet, papan kekunci (keyboard) dan skrin monitor.

Talian internet yang menghubungkan pengguna membenarkan ramai peserta IRC berhubung antara satu sama lain secara serentak (Wan Anita Wan Abas, 2002).

Menurut Beh (2001), setiap peserta IRC mempunyai nama samaran yang tersendiri dan mereka bebas memilih pasangan untuk berbual. Mereka juga bebas membuat pilihan untuk berbual dalam saluran (channel) bersama-sama ramai lagi peserta IRC yang lain ataupun mereka menghantar mesej ke mesej peribadi (instant message) secara one-to-one. Tiada syarat dalam melayari IRC kerana sesiapa sahaja boleh melayari dan menjadi peserta dalam IRC.

Menurut Phat a/l Awang Deng dan Rohaya Md. Ali (2006), sembang maya merupakan sebahagian daripada penggunaan bahasa dalam dunia maya atau siber. Peranannya meliputi pelbagai tujuan seperti penghantaran mesej kepada pihak yang lain.


IRC ialah salah satu daripada perkhidmatan internet yang popular dan menyeronokkan. Ini adalah kemudahan yang membolehkan pengguna bercakap dengan pengguna yang lain dengan menggunakan papan kekunci untuk menaip percakapan mereka. Mesej yang pengguna taip akan muncul serta merta pada skrin pengguna yang satu lagi.

IRC boleh dianggap sebagai satu komunikasi berbentuk rekreasi (Mokhtar Ahmad, 2002: 64) . Jelasnya, IRC adalah suatu tempat untuk pengguna internet bersembang secara langsung dengan pengguna lain melalui perantaraan internetPeserta dalam ruang siber juga mengongsi bahasa untuk berkomunikasi sama seperti komunikasi lain dalam dunia nyata (Noriah Mohamed, 2006).

Internet menjadi jaringan global yang menghubungkan beribu malahan berjuta jaringan komputer contohnya jaringan LANs (Local Area Networks) atau rangkaian setempat, WANs (Wide Area Networks) atau rangkaian luas, intranet, internet dan komputer peribadi (stand alone) membolehkan setiap komputer menghantar mesej antara satu sama lain (Nor Shahila Mansor, 2004). Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (2009) berpendapat penggunaan laman sesawang sosial seharusnya dimanfaatkan sebagai salah satu alat terbaik untuk berkomunikasi dengan para belia dan alat komunikasi internet ini mampu menggalakkan beliau untuk aktif dalam bidang politik.

Kepopularan IRC pula dapat dilihat daripada penggunaannya kerana terdapat IRC yang kecil servernya (contohnya, OperaNet), IRC yang sederhana servernya (contohnya Freenote dan DalNet yang memiliki 30,000 pengguna) dan IRC yang besar servernya (contohnya, EFNet, dan UnderNet yang memiliki lebih daripada 100,000 pengguna) (http://simple.wikipedia.org/wiki/Internet_RelayChat, 9/12/2008).

Adakah anda pernah berkomunikasi dengan masyarakat dunia melalui IRC? Tahukah anda bahawa terdapat pelbagai laman IRC bahasa Melayu yang boleh anda terokai sekiranya anda ingin menjalin persahabatan dengan penutur bahasa Melayu di seluruh dunia? Jangan terkejut sekiranya rakan sembang anda adalah pelajar Cina dari Universiti Beijing yang mengambil jurusan Pengajian Melayu di China ataupun pelajar dari Universiti Leiden, Belanda.
KAJIAN BAHASA MELAYU DARI SUDUT ETNOGRAFI KOMUNIKASI

Oleh
Dr. Hj. Rosli bin Ab. Rahman

Etnografi komunikasi adalah suatu bidang kajian yang agak baru bagi bidang pengajian bahasa dan masyarakat (Peter Trudgill dalam Saville-Troike, 2003). Perkataan etnografi berasal daripada perkataan Greek iaitu ethnos (bangsa atau orang) dan graphia (menulis). Jadi etnografi merujuk kajian empirical atau pemerhatian dan pengajian deskriptif kemanusiaan dalam kumpulan yang besar seperti masyarakat atau bangsa. Britannica Concise Encylopedia mendefinisikan etnografi sebagai:
“descriptive study of a particular human society. Contemporary ethnography is based almost entirely on fieldwork. The ethnographer lives among the people who are the subject of study for a year or more, learning the local language and participating in everyday life while striving to maintain a degree of objective detachment. He or she usually cultivates close relationships with “informants” who can provide specific information on aspects of cultural life. While detailed written notes are the mainstay of fieldwork, etnographers may also use tape recorders, cameras, or video recorders.”

Dengan terbitnya ‘Etnografi Pertuturan’ pada tahun 1962, Hymes telah melancarkan suatu disiplin baharu yang memberi tumpuan kepada keadaan pola perlakuan komunikasi sebagai salah satu daripada sistem kebudayaan, bagaimana ia berfungsi dalam konteks keseluruhan kebudayaan serta bagaimana ia dikaitkan dengan pola-pola dalam sistem-sistem yang berkaitan dengan yang lain (Saville-Troike, 1991: 1). Sementara Richards et. al. (1992) mendefinisikan etnografi komunikasi sebagai:
“the study of place of language in culture and society. Language is not studied in isolation, but within socio-cultural setting. Ethnography of communication studies for example, how people in a particular group or community communicate with each other and how the social relationships between these people affect the type of language they use.”

Nur’ Aini Abu Bakar (1995: 139) menyatakan etnografi komunikasi adalah bidang yang mempelajari bahasa dalam hubungannya dengan semua variable di luar bahasa. Mengikut Schiffrin (1998: 137), etnografi komunikasi ini bukan sahaja memfokus kepada berbagai-bagai tingkah laku pertuturan, malah mempamerkan sifat keterbukaan dalam teori dan metodologinya untuk membolehkannya melihat bentuk dan fungsi yang tersedia untuk komunikasi.

Etnografi komunikasi turut melihat bagaimana bentuk dan fungsi ini menjadi bahagian-bahagian kehidupan yang berlainan. Etnografi komunikasi menganalisa pola-pola komunikasi sebagai sebahagian daripada pengetahuan budaya dan tingkah laku penutur. Etnografi komunikasi adalah bidang yang luas kerana ia tidak hanya meliputi komunikasi lisan (speaking) tetapi juga melibatkan komunikasi tulisan (writing) dan komunikasi isyarat (gesture), gerakan tubuh (kinestics), atau tanda (signing) (Sailal Arimi, 2009) .

Berdasarkan definisi di atas, etnografi komunikasi adalah suatu bidang kajian yang melihat komunikasi sebagai salah satu daripada sistem kebudayaan yang saling berkait antara satu sama lain. Dalam etnografi komunikasi, pola-pola komunikasi dianalisa dengan mengambil kira faktor budaya dan tingkah laku masyarakat tersebut. Justeru, pemerhatian dan penglibatan secara langsung pengkaji dalam kajian etnografi komunikasi amat penting bagi menentukan kesahan maklumat yang diperolehi.

Berdasarkan kajian literatur, banyak kajian dalam bidang bahasa yang diterokai menggunakan teori etnografi komunikasi. Antaranya Ravichandran, M (1996), telah mengenal pasti pola-pola bahasa dalam kalangan penutur-penutur masyarakat Chitty Melaka, Ong (1998) telah menyelidik, menghurai dan menganalisis bentuk-bentuk komunikasi pertuturan komuniti pemandu pelancong dalam situasi komunikasi, Md. Sabri Che Man (2003) telah mencuba mengenal pasti parameter (komponen ‘SPEAKING’) yang mempengaruhi peristiwa bahasa (wawancara) dan Rosli Ab. Rahman (2010) yang melihat peristiwa bahasa dalam teknologi maklumat dan komunikasi dari sudut etnografi komunikasi. Kajian-kajian oleh sarjana ini telah membuka minda pengkaji bahasa tentang tingginya nilai bahasa Melayu apabila ditinjau dari sudut etnografi komunikasi.