AIDIL FITRI MENJELANG LAGI
Oleh:
Dr. Hj. Rosli Ab. Rahman
Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengekang hawa nafsu di bulan Ramadan, Allah S.W.T membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, iaitu Allah S.W.T menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar bagi kita menyambutnya mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh syara‘ dan tidak dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah S.W.T khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan.
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.
Semoga kita sama-sama merebut peluang yang diberikan oleh Allah S.W.T untuk melipatgandakan amalan kita di sisi Allah S.W.T.
UCAPAN TAKBIR RAYA
Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idul fitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta‘ala:
Maksud ayat:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah : 185)
ADAB-ADAB MENYAMBUT AIDIL FITRI
1. Menghidupkan malam hari raya dengan memperbanyak amal ibadah.
2. Mandi sunat hari raya.
3. Memakai bau-bauan harum.
4. Memakai pakaian yang paling baik .
5. Menjamah sedikit makanan sebelum ke masjid.
6. Menunaikan zakat fitrah sebelum sembahyang sunat hari raya.
7. Berjalan ke masjid dengan tenang dan tawadhuk.
8. Bertakbir semasa berjalan ke masjid .
9. Mengucapkan tahniah bila berjumpa saudara-saudara muslim.
10. Menggelakkan pembaziran.
11. Menjauhi segala perbuatan maksiat dan sia-sia.
No comments:
Post a Comment