KOMUNIKASI MASA KINI
Oleh
Dr. Hj. Rosli Ab. Rahman
Dalam dunia komunikasi masa kini, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sama ada golongan tua lebih-lebih lagi kepada golongan muda.
Menurut Ilah Hafiz Aziz (2000), apabila memperkatakan sesuatu yang berkait rapat dengan TMK dalam kalangan golongan muda, pasti ramai yang melihat kemudahan telefon bimbit sebagai salah satu teknologi penting kepada mereka. Namun, jika dilihat dari sudut kemudahan teknologi berasaskan internet, laman sesawang (web) sosial seperti facebook, friendster, myspace dan twitter menjadi kegemaran mereka.
Teknologi sesawang yang semakin berkembang itu telah memberi pengaruh hebat kepada golongan tersebut dan komunikasi itu seolah-olah menjadi gaya hidup yang semakin sebati dalam kehidupan mereka. Justeru, peristiwa bahasa yang berlaku dalam TMK seharusnya diberikan perhatian dalam pengkajian bahasa kerana ia memberi kesan yang besar kepada masyarakat dan budaya. Peristiwa bahasa berkait rapat dengan budaya sesuatu masyarakat seperti yang dinyatakan oleh Saville-Troike (2003) bahawa peristiwa bahasa adalah dilingkungi oleh peraturan-peraturan dan norma bahasa.
Dalam perkembangan dunia globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Globalisasi dilihat sebagai satu proses sosial yang menyebabkan masyarakat negara atau bangsa menjadi saling berhubungan dalam aspek ekonomi, politik dan budaya (Kalthum Ibrahim, 2008) . Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) turut mempengaruhi penggunaan bahasa masa kini. Apatah lagi, kewujudan aliran baru dalam dunia komunikasi tanpa bersemuka seperti mel elektronik (e-mail), khidmat pesanan ringkas (short message service), internet relay chat atau (IRC), friendster, facebook dan lain-lain memberikan ruang dan peluang untuk manusia berkomunikasi dengan lebih luas.
Pengasas facebook, Mark Zuckerberg (2009) dalam mesej yang disiarkan dalam blog rasmi facebook berkata:
“Perkembangan pesat itu membuatkan saya terharu dan teruja. Bagi kami, peningkatan kepada 250 juta pengguna bukan sahaja sebagai angka yang mengagumkan tetapi juga sebagai sebagai ukuran berapa banyaknya hubungan peribadi yang anda telah lakukan.”
Peserta dalam ruang siber juga mengongsi bahasa untuk berkomunikasi sama seperti komunikasi lain dalam dunia nyata (Noriah Mohamed, 2006). Internet menjadi jaringan global yang menghubungkan beribu malahan berjuta jaringan komputer contohnya jaringan LANs (Local Area Networks) atau rangkaian setempat, WANs (Wide Area Networks) atau rangkaian luas, intranet, internet dan komputer peribadi (stand alone) membolehkan setiap komputer menghantar mesej antara satu sama lain (Nor Shahila Mansor, 2004). Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (2009) berpendapat penggunaan laman sesawang sosial seharusnya dimanfaatkan sebagai salah satu alat terbaik untuk berkomunikasi dengan para belia dan alat komunikasi internet ini mampu menggalakkan beliau untuk aktif dalam bidang politik.
SMS dan IRC adalah antara saluran komunikasi yang digunakan secara meluas pada masa kini. Buktinya, menurut Michael Lai (2005), rakyat Malaysia membelanjakan RM 4.7 juta sehari atau RM 1.716 bilion setahun untuk menghantar mesej melalui perkhidmatan SMS. Jumlah itu diperoleh berdasarkan perangkaan yang menunjukkan lebih 47 juta SMS dihantar setiap hari di negara ini dengan andaian setiap SMS dikenakan bayaran purata 10 sen .
No comments:
Post a Comment