BAHASA MELAYU DALAM SALING BUAL INTERNET (INTERNET RELAY CHAT ATAU IRC)
Oleh
Dr. Hj. Rosli bin Ab. Rahman
IRC ialah sistem perbualan melalui internet oleh berbilang pengguna yang membenarkan mesej yang ditaip dicapai oleh semua ahli kumpulan yang berkaitan dalam masa nyata (http://prpm.dbp.gov.my/). Menurut Wan Imran Mohamed Woojdy (1998), IRC ialah sistem komunikasi yang berteraskan konsep ramai pengguna dalam satu masa (multi-user talk) yang dihubungkan melalui network atau talian internet. Perlakuan atau komunikasi di IRC hanya menggunakan medium atau bahantara talian internet, papan kekunci (keyboard) dan skrin monitor. Talian internet yang menghubungkan pengguna membenarkan ramai peserta IRC berhubung antara satu sama lain secara serentak (Wan Anita Wan Abas, 2002).
Menurut Beh (2001), setiap peserta IRC mempunyai nama samaran yang tersendiri dan mereka bebas memilih pasangan untuk berbual. Mereka juga bebas membuat pilihan untuk berbual dalam saluran (channel) bersama-sama ramai lagi peserta IRC yang lain ataupun mereka menghantar mesej ke mesej peribadi (instant message) secara one-to-one. Tiada syarat dalam melayari IRC kerana sesiapa sahaja boleh melayari dan menjadi peserta dalam IRC Nor Shahila Mansor (2004: 10).
Beh (2001: 2) menghuraikan bahawa IRC membolehkan pengguna berkomunikasi melalui dua bentuk:
“It is a multi-user and multi channel chat system that allow people to communicate at the same time. This means a message typed by one participant is seen by other participants within a few seconds. Each participant has a nickname and chats with the other participants in a channel. Each channel is like a private room, the other participants who are the same channel can read the message that is typed in an channel, but participants outside the channel are unable to read the message.”
Teknologi sesawang yang semakin berkembang itu telah memberi pengaruh hebat kepada masyarakat dan komunikasi itu seolah-olah menjadi gaya hidup yang semakin sebati dalam kehidupan mereka. Hampir semua laman pencarian enjin seperti MSN, Yahoo, Google dan lain-lain lagi menyediakan kemudahan IRC untuk memberi peluang kepada penggunanya bersembang melalui laman interaksi sosial tersebut.
Kepopularan IRC dapat dilihat daripada penggunaannya kerana terdapat IRC yang kecil servernya (contohnya, OperaNet), IRC yang sederhana servernya (contohnya Freenote dan DalNet yang memiliki 30,000 pengguna) dan IRC yang besar servernya (contohnya, EFNet, dan UnderNet yang memiliki lebih daripada 100,000 pengguna) (http://simple.wikipedia.org/wiki/Internet_RelayChat, 9/12/2008).
Beberapa orang pengkaji bahasa telah mengkaji mengenai penggunaan laman sembang IRC sebagai saluran inetraksi sosial. Antaranya, kajian yang dilakukan oleh Wan Imran Mohamed Woojdy (1998) mengenai Sembang-sembang Siber: Strategi
Perbualan di Internet Relay Chat . Dapatan kajian beliau bahawa dalam pertuturan IRC, para penutur menggunakan beberapa bentuk strategi komunikasi seperti penukaran kod, paralinguistik, penyingkatan kata dan bahasa slanga dapat membantu pengguna bahasa IRC lebih memahami bahasa IRC.
Nor Shahila Mansor (2004) telah melihat komunikasi di IRC dalam kalangan IRC tempatan (penutur bahasa Melayu) di Malaysia dan peserta IRC luar negara (penutur bahasa Sepanyol) di negara berbahasa Sepanyol. Menurutnya, komunikasi tidak hanya berlaku secara bersemuka tetapi masih terus boleh berlaku walaupun penutur dan pendengar tidak langsung dapat melihat antara satu sama lain. Melalui telefon dan internet, manusia di seluruh pelosok dunia boleh berhubung pada bila-bila masa tanpa ada sekatan oleh dinding jarak, sempadan, waktu, perbezaan budaya, agama, latar belakang pendidikan dan pelbagai lagi unsur halangan lain. Kajian ini menyingkap wacana perbualan antara pemeran-pemeran di ruangan IRC yang mendukung budaya, agama, pemikiran dan ideologi yang berbeza.
Kesimpulannya, laman sembang IRC perlu dimanfaatkan oleh pengguna bahasa Melayu untuk menjalinkan interaksi sosial sesama mereka akan bahasa Melayu mampu merentas samudera globalisasi setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia.
No comments:
Post a Comment