Friday, September 3, 2010

BAHASA SMS?

Oleh:
Dr. Hj. Rosli bin Ab. Rahman

Bahasa SMS? Apakah yang dikatakan bahasa SMS? Khidmat pesanan ringkas ataupun SMS (Short Message Service) adalah khidmat yang membolehkan teks ringkas dan sebagainya dihantar dan diterima dengan menggunakan telefon bimbit, komputer peribadi dan sebagainya (http://prpm.dbp.gov.my/). Crystal (2008) menyatakan bahawa idea dan gagasan khidmat pesanan ringkas bermula daripada perbincangan sebahagian daripada perkembangan sistem jaringan global untuk komunikasi mudah alih (Global System for Mobile Communication) sekitar pertengahan 1980an tetapi ia tidak menjadi kenyataan sehingga awal 1990an apabila syarikat telefon mula membina kepentingan komersial.

Percubaan pertama penghantaran mesej dikirim di Finland pada tahun 1992-1993 sehinggalah ia mengambil lebih daripada lima tahun untuk membolehkan pengguna menggunakannya. Pendapat Crystal ini siperkuatkan oleh pendapat Supyan Hussin (2005) bahawa SMS telah dilancarkan secara komersial untuk kali pertamanya pada tahun 1995. SMS mempunyai idea yang sama seperti kod Morse. Ianya membolehkan pesanan sehingga 160 huruf dihantar melalui telefon bimbit dan internet-domestik dan antarabangsa.

SMS adalah satu kaedah menghantar mesej teks yang mempunyai kepanjangan maksimum 160 aksara melalui telefon sel (Aziz Deraman, 2005). Pada hari ini, SMS menjadi alat komunikasi penting kepada para remaja yang suka berkomunikasi dengan kos yang minimum. Perkembangan dalam penggunaan SMS begitu mendadak. Di United Kingdom, pada tahun 2002, sebanyak 12.2 bilion mesej teks telah dihantar oleh pengguna. Pertambahan sekali ganda telah berlaku pada tahun 2004 dan dijangka bertambah kepada 45 bilion pada tahun 2007 (Crystal, 2008: 4). Gartner, penganalisis industri meramalkan bahawa jumlah mesej yang dihantar pada tahun 2010 ialah 2.4 trilion (www. Gartner.com).

Menurut Supyan Hussin (2005), bahasa SMS boleh dibahagikan kepada dua dengan katanya:
“bahasa SMS boleh dibahagikan kepada dua iaitu rasmi dan tidak rasmi. Bahasa SMS rasmi ditulis dengan penggunaan perkataan dan nahu yang standard serta struktur ayat yang lengkap. Sebaliknya, bahasa SMS tidak rasmi menggunakan perkataan yang dipendekkan atau diringkaskan dan tidak mengikut nahu bahasa yang betul. Struktur ayatnya tidak lengkap dan ayatnya tergantung. Terdapat juga kekerapan perkataan singkatan SMS dalam bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris. Nada bunyi bahasanya juga lebih mirip bahasa pasar.”

Abdullah Hassan (2008) menyatakan bahasa SMS adalah satu neka bahasa tulisan yang digunakan dalam sistem maklumat singkat yang digunakan lazimnya oleh orang muda bagi berkomunikasi melalui telefon bimbit. Dalam SMS ini banyak perkataan yang dipendekkan, perkataan Inggeris yang dipinjam dan perkataan-perkataan slanga yang diketahui oleh golongan pengguna SMS itu saja. Malah, ramai golongan yang lebih tua tidak memahami bahasa tersebut.

Benarkah SMS Popular?

Menurut Michael Lai (2005), rakyat Malaysia membelanjakan RM 4.7 juta sehari atau RM 1.716 bilion setahun untuk menghantar mesej melalui perkhidmatan SMS. Jumlah itu diperoleh berdasarkan perangkaan yang menunjukkan lebih 47 juta SMS dihantar setiap hari di negara ini dengan andaian setiap SMS dikenakan bayaran purata 10 sen .

Menurut S.M. Mohamed Idris (2007), pengguna telefon bimbit di negara ini menghantar lebih 11.7 bilion SMS antara Januari hingga Mac 2007 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 4.3 bilion SMS untuk tempoh yang sama bagi tahun lalu. Menurut laporan Kaji Selidik Pengguna Telefon Bimbit 2007, terdapat peningkatan ketara penggunaan SMS dan MMS dalam kalangan pengguna telefon bimbit bagi tempoh empat tahun lalu. Kaji selidik itu mendapati 50.4 peratus daripada 21 juta pengguna telefon bimbit di negara ini menghantar lebih lima SMS atau MMS sehari pada tahun 2007 berbanding 46.1 peratus pada 2006, 41.8 peratus (2005) dan 31.7 peratus (2004) (Berita Minggu, 6 Julai 2008).

No comments:

Post a Comment