Friday, September 3, 2010

KOMUNIKASI MELALUI SALING BUAL INTERNET (INTERNET RELAY CHAT @ IRC)

Oleh
Dr. Rosli bin Ab. Rahman

IRC ialah sistem perbualan melalui internet oleh berbilang pengguna yang membenarkan mesej yang ditaip dicapai oleh semua ahli kumpulan yang berkaitan dalam masa nyata (http://prpm.dbp.gov.my/).

Menurut Wan Imran Mohamed Woojdy (1998), IRC ialah sistem komunikasi yang berteraskan konsep ramai pengguna dalam satu masa (multi-user talk) yang dihubungkan melalui network atau talian internet. Perlakuan atau komunikasi di IRC hanya menggunakan medium atau bahantara talian internet, papan kekunci (keyboard) dan skrin monitor.

Talian internet yang menghubungkan pengguna membenarkan ramai peserta IRC berhubung antara satu sama lain secara serentak (Wan Anita Wan Abas, 2002).

Menurut Beh (2001), setiap peserta IRC mempunyai nama samaran yang tersendiri dan mereka bebas memilih pasangan untuk berbual. Mereka juga bebas membuat pilihan untuk berbual dalam saluran (channel) bersama-sama ramai lagi peserta IRC yang lain ataupun mereka menghantar mesej ke mesej peribadi (instant message) secara one-to-one. Tiada syarat dalam melayari IRC kerana sesiapa sahaja boleh melayari dan menjadi peserta dalam IRC.

Menurut Phat a/l Awang Deng dan Rohaya Md. Ali (2006), sembang maya merupakan sebahagian daripada penggunaan bahasa dalam dunia maya atau siber. Peranannya meliputi pelbagai tujuan seperti penghantaran mesej kepada pihak yang lain.


IRC ialah salah satu daripada perkhidmatan internet yang popular dan menyeronokkan. Ini adalah kemudahan yang membolehkan pengguna bercakap dengan pengguna yang lain dengan menggunakan papan kekunci untuk menaip percakapan mereka. Mesej yang pengguna taip akan muncul serta merta pada skrin pengguna yang satu lagi.

IRC boleh dianggap sebagai satu komunikasi berbentuk rekreasi (Mokhtar Ahmad, 2002: 64) . Jelasnya, IRC adalah suatu tempat untuk pengguna internet bersembang secara langsung dengan pengguna lain melalui perantaraan internetPeserta dalam ruang siber juga mengongsi bahasa untuk berkomunikasi sama seperti komunikasi lain dalam dunia nyata (Noriah Mohamed, 2006).

Internet menjadi jaringan global yang menghubungkan beribu malahan berjuta jaringan komputer contohnya jaringan LANs (Local Area Networks) atau rangkaian setempat, WANs (Wide Area Networks) atau rangkaian luas, intranet, internet dan komputer peribadi (stand alone) membolehkan setiap komputer menghantar mesej antara satu sama lain (Nor Shahila Mansor, 2004). Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (2009) berpendapat penggunaan laman sesawang sosial seharusnya dimanfaatkan sebagai salah satu alat terbaik untuk berkomunikasi dengan para belia dan alat komunikasi internet ini mampu menggalakkan beliau untuk aktif dalam bidang politik.

Kepopularan IRC pula dapat dilihat daripada penggunaannya kerana terdapat IRC yang kecil servernya (contohnya, OperaNet), IRC yang sederhana servernya (contohnya Freenote dan DalNet yang memiliki 30,000 pengguna) dan IRC yang besar servernya (contohnya, EFNet, dan UnderNet yang memiliki lebih daripada 100,000 pengguna) (http://simple.wikipedia.org/wiki/Internet_RelayChat, 9/12/2008).

Adakah anda pernah berkomunikasi dengan masyarakat dunia melalui IRC? Tahukah anda bahawa terdapat pelbagai laman IRC bahasa Melayu yang boleh anda terokai sekiranya anda ingin menjalin persahabatan dengan penutur bahasa Melayu di seluruh dunia? Jangan terkejut sekiranya rakan sembang anda adalah pelajar Cina dari Universiti Beijing yang mengambil jurusan Pengajian Melayu di China ataupun pelajar dari Universiti Leiden, Belanda.

No comments:

Post a Comment