Friday, September 3, 2010

RESIPI ORANG YANG BERJAYA
Oleh
Dr. Hj. Rosli bin Rahman

Kenalkah anda dengan Kolonel Sanders?
Atau, pernahkah anda mendengar nama Thomas Alva Edison?
Adakah anda pernah membaca kisah Nelson Mandela?

Nama-nama d atas merujuk kepada pencipta resipi Kentucky Fried Chicken, pencipta lampu dan presiden Afrika Selatan yang cukup terkenal.

Apakah keistimewaan insan tersebut?
Mereka adalah insan yang berjiwa cekal, tidak mudah berputus asa dan sentiasa berpandangan positif dalam menghadapi kesusahan dan kegagalan.

Pernahkah anda terfikir bahawa Kolonel Sanders tidak berputus asa menjaja resipi ayam goreng milik keluarganya kepada restoran walaupun resipinya ditolak mentah-mentah oleh restoran. Berkat kesabaran dan kecekalannya, kini rangkaian restoran KFCnya berkembang pesat di serata dunia.

Thomas Alva Edison membuktikan kegigihannya dengan bekerja selama 18 jam sehari. Beliau mengambil masa sepuluh tahun bagi menghasilkan bateri nikel-besi-kadmium. Beliau melakukan klasifikasi kepada 17,000 jenis tumbuhan sebelum berjaya mengeluarkan lateks daripada satu jenis tumbuhan sahaja. Beliau juga mencipta lampu selepas berusaha lebih 10,000 kali. Akhirnya, beliau berjaya mempatenkan sebanyak 1093 jenis rekaan, walaupun hanya menghadiri sekolah selama enam bulan sahaja.

Nelson Mandela pula berjaya menjadi presiden Afrika Selatan yang ternama setelah mengharungi pelbagai cabaran. Beliau pernah dipenjara selama hampir suku abad. Bayangkan kecekalan dan kesabarannya!

Adakah kita memiliki sifat-sifat seperti insan di atas?
Adakah kita sanggup menempuh pelbagai dugaan untuk mencipta kejayaan?
Adakah kita sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi sesuatu perkara yang berlaku kepada diri kita?
KITA YANG MENENTUKAN HALA TUJU DIRI KITA!

No comments:

Post a Comment